18 Ogo 2025
Anak Muda Perwira, Teguh Membawa Obor Perjuangan
Anak Muda Perwira, Teguh Membawa Obor Perjuangan
Di Berek Birri, setiap hari adalah sebuah madrasah kehidupan. Di sinilah, anak muda diuji — bukan sekadar dengan teori, tetapi dengan lumpur di ladang, peluh di kandang, dan tekad yang tidak pernah luntur.
Hari ini, kami ingin mengangkat setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Kadet Ghazali dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang telah menamatkan Latihan Industri bersama kami. Kehadirannya bukan sekadar pelajar praktikal, tetapi sebagai pemangkin perubahan.
Beliau hadir membawa semangat seorang perwira muda. Dari mengurus penerimaan ternakan sehingga memastikan hidangan terhidang di meja. Dari tanaman napier yang dulunya hanya konvensional, kini menuju IoT Ternakan & Big Data Analisis. Dari kerja asas menyapu kandang, beliau naik ke tahap mencipta inovasi binaan fasiliti moden yang bakal mengubah wajah penternakan negara.
Inilah buktinya — negara kita tidak ketandusan anak muda yang berani mencabar kebiasaan. Mereka menjadikan keluhan sebagai pilihan terakhir, dan usaha tanpa henti sebagai jalan utama. Mereka tahu bahawa misi tidak akan pernah tercapai tanpa kerja keras, disiplin, dan keyakinan.
Kami yakin, suatu hari nanti Tuan Ghazali akan berdiri teguh sebagai Pegawai Tentera Darat yang disegani dan dihormati. Bukan sahaja kerana pangkatnya, tetapi kerana jiwanya yang besar, yang telah ditempa dengan amanah rakyat dan negara.
Dan kepada adik-adik mahasiswa serta pelajar institut pengajian, ketahuilah — pintu Berek Birri sentiasa terbuka. Di sini bukan sekadar belajar tentang ternakan, tetapi belajar tentang kehidupan, tentang perjuangan, tentang bagaimana sebuah visi kecil boleh bertukar menjadi misi negara. Banyak ruang yang sedang kami bina, menanti untuk diisi oleh kalian yang sudi mencabar diri.
Kerana di hujungnya, perjuangan ini bukan sekadar tentang Biri-biri atau kandang semata-mata. Ia tentang keselamatan makanan negara, tentang masa depan generasi, dan tentang amanah yang tidak boleh dipersiakan.
Teguhlah, anak muda!
—Jom belajar menternak.#makanankitatanggungjawabkita
Komandan BirriBerek Birri
